Bab 1 - Warkah Terakhir - Episod 1

Lesson 1/6 | Study Time: 8 Min
Bab 1 - Warkah Terakhir - Episod 1

Langit masih lagi kusam tatkala aku membuka pintu studio, membiarkan udara pagi yang masih belum tercemar dengan kesesakan bandar menyelinap masuk ke ruang yang dipenuhi dengan kenangan orang lain. Cahaya mentari yang suram, mengintai dari balik dedaun tingkap yang bertabir, menari nari di sudut lantai studio dengan tarian yang menghidupkan rona, cuba mengusir kegelapan malam yang masih bersisa dibalik bayang bayang kota metropolitan ini.

Setiap sudut studio ini menyimpan seribu satu kisah bahagia yang kurakamkan - senyuman pengantin yang berseri-seri, tawa kanak-kanak yang riang, dan tangisan bayi yang baru lahir.

Namun pagi ini, ruang yang sama terasa begitu kosong, seakan-akan dinding-dindingnya sedang menanti untuk menyaksikan sesuatu—dan aku tahu, ia tak akan berakhir dengan bahagia.

Bunyi tapak kasutku bergema di atas lantai kayu yang telah digilap licin oleh masa, menghantar dengungan halus ke seluruh ruang.

Cermin-cermin besar yang tergantung di dinding memantulkan bayangan diriku yang bergerak perlahan - seorang lelaki berusia 28 tahun dengan kamera DSLR tersandang di bahu, rambut yang sedikit bergaya mengikut trend, dan baju kemeja yang terlipat ke siku.

Dari luaran, aku kelihatan seperti seorang jurugambar muda yang berjaya di tengah-tengah metropolitan. Tetapi mata yang terpancar di cermin itu menyimpan kekosongan yang tidak dapat kujelaskan.

"Selamat pagi, Tuan Haikal Studio.“

Suara pak guard yang menyapaku dari luar mengejutkan lamunanku.

Aku tersenyum, melambai ke arahnya. Sudah lima tahun studio ini menjadi rumah keduaku, tempat di mana impian masa kecil untuk menjadi jurugambar profesional akhirnya tercapai. Datuk selalu berkata...

Datuk.

Tiba-tiba sahaja ingatan tentang mimpi semalam menerjah masuk ke mindaku.

Dalam mimpi itu, aku kembali menjadi kanak-kanak berusia lapan tahun, duduk di beranda rumah datuk di Tanjung Sepat.

Angin laut yang masin membelai rambutku sementara datuk bercerita tentang misteri-misteri yang tersembunyi di sebalik ombak yang tidak pernah penat bergulung di hadapan kami.

"Ada yang lebih dalam dari lautan, Irfan," kata datuk dalam mimpi itu, suaranya serak tetapi penuh makna.

"Ada yang lebih gelap dari dasar laut, dan ada yang lebih tinggi dari langit. Tapi yang paling dalam, yang paling gelap, dan yang paling tinggi itu... ada dalam hati manusia."

Menggelengkan kepala untuk menghalau bayang-bayang mimpi, aku melangkah ke arah peti surat yang terletak di sudut studio. Seperti biasa, timbunan sampul dan risalah memenuhinya - bil-bil yang perlu dibayar, brosur-brosur yang tidak diperlukan, dan kad-kad perniagaan yang tidak diminta. Namun di antara timbunan itu, sebentuk sampul coklat yang lusuh menarik perhatianku.

Jari-jariku bergetar tanpa sebab apabila menyentuh permukaan sampul itu. Ada sesuatu tentang tulisan tangan yang tertera di atasnya yang mengusik memori lama - tulisan yang kini kelihatan lebih lemah, seakan-akan penulisnya sudah kehilangan kekuatan yang dahulunya ada.

Duduk di kerusi kayu antik yang selalu kugunakan untuk sesi potret, aku membuka sampul itu dengan perlahan. Cahaya pagi yang masih malu-malu menerobos masuk melalui tingkap kaca seakan-akan turut ingin mengintai isi kandungannya.

Bunyi kenderaan dan hiruk-pikuk Kuala Lumpur yang semakin sibuk di luar sana tiba-tiba terdengar begitu jauh.

"Untuk Irfan Haikal, daripada Datukmu.“

Dunia seakan-akan berhenti berputar. Datuk tidak pernah menulis surat. Tidak pernah.

Lelaki tua itu lebih suka bercerita secara langsung, duduk bersila di atas tikar mengkuang sambil matanya memandang jauh ke horizon di mana laut dan langit bertemu dalam satu garisan yang tidak pernah dapat kucapai.

Kini, surat ini membawa bersamanya memori-memori yang sudah lama kulupakan - aroma ikan bakar dari gerai-gerai di tepi pantai, bunyi camar yang terbang rendah mencari rezeki, dan gelak tawa riang kanak-kanak yang bermain di pasir.

Dengan jantung yang berdegup tidak menentu, aku membuka lipatan kertas yang sudah menguning itu. Bau kertas lama bercampur dengan aroma yang mengingatkanku kepada almari antik di rumah datuk - gabungan kayu cengal tua dan sedikit kelembapan udara pantai yang tidak pernah hilang. n. Aku menarik nafas dalam, cuba menenangkan debaran halus di dada, tapi udara pagi itu terasa lebih berat daripada biasa, seakan akan dihimpit oleh bongkahan batu sebesar Urulu di atas jemalaku.

"Bila surat ini sampai ke tanganmu, Irfan, Datuk mungkin sudah tidak ada di dunia ini lagi..."

Seketika, aku terasa seperti ditikam sebilah pisau yang tajam dan sejuk. Kalimah-kalimah yang tertulis di hadapanku seakan-akan menari, kabur dek genangan air mata yang cuba kutahan.

Suara datuk yang serak dan berat tiba-tiba bergema di telingaku, seolah-olah beliau sedang membacakan surat ini sendiri.

"Jangan sedih, cucuku. Kita semua ada waktu untuk pergi. Tapi sebelum Datuk meninggalkan dunia ini, ada sesuatu yang perlu Datuk serahkan kepadamu.

Bukan harta yang banyak, hanya sebuah rumah tua di tepi pantai — rumah di mana kau selalu bermain sewaktu kecil dahulu. Jaga baik-baik apa yang ditinggalkan. Ada yang lebih berharga dari harta...“

Di luar, guruh mula berdentum perlahan, menghantar getaran halus ke cermin-cermin studio. Bayang-bayang awan gelap mula merangkak naik di dinding, seakan-akan cuba menyelubungi ruang dengan kesuraman yang sama yang kini menyelubungi hatiku.

"Datuk tahu kau mungkin tertanya-tanya kenapa Datuk tinggalkan rumah ini untukmu. Kau seorang jurugambar yang berjaya di bandar. Apa gunanya rumah usang di tepi pantai untuk anak muda sepertimu? Tapi percayalah, Irfan. Dalam rumah itu tersimpan rahsia-rahsia yang hanya kau layak mewarisinya. Ada cerita-cerita yang belum selesai. Ada pintu-pintu yang belum dibuka...“

Telefon di poketku bergetar, memecah konsentrasiku. Skrin telefon menunjukkan nombor yang tidak dikenali.

Dengan tangan yang masih bergetar, aku menekan butang jawab.

"Encik Irfan?" Suara seorang wanita, formal dan jauh. "Saya Puan Hasnah dari pejabat Peguam Rahman & Associates. Tentang wasiat Encik Muhammad Salleh..."

"Ya..." Suaraku tersekat. "Ya, saya Irfan.“

"Kami perlu berjumpa dengan encik secepat mungkin. Ada beberapa dokumen yang perlu ditandatangani berkaitan wasiat arwah. Boleh encik datang ke pejabat kami hari ini?"

Mataku terpaku pada perenggan terakhir surat itu. Tulisan datuk di sini lebih tidak teratur, seakan-akan ditulis dengan tangan yang lebih lemah, atau mungkin... dengan tergesa-gesa.

"Satu lagi perkara, Irfan. Dalam bangsal belakang rumah, ada sebuah vespa hijau yang sudah lama tidak digunakan. Kuncinya ada dalam sampul ini. Jangan biarkan sesiapa mendekatinya sebelum kau sendiri yang membukanya. Dan yang paling penting... bila kau masuk ke bangsal itu nanti, pastikan bulan sudah tersenyum di langit. Dia suka bermain dengan bayang-bayang malam...“

Dengan tangan yang semakin bergetar, aku menyeluk ke dalam sampul surat. Sebuah kunci kecil berkarat terjatuh ke atas lantai kayu, mengeluarkan bunyi denting yang bergema di seluruh studio.

Di luar, hujan mula turun renyai-renyai, membawa bersamanya aroma tanah basah yang mengingatkanku pada haruman bangsal belakang rumah datuk - tempat yang selalu dilarang untuk ku masuki sewaktu kecil dahulu.

"Encik Irfan? Encik masih di talian?“

"Ya," aku menjawab perlahan, mata masih terpaku pada kunci berkarat di lantai. "Saya akan datang petang ini.“

Sebaik sahaja menutup talian, aku berdiri di hadapan tingkap studio, memandang ke arah langit Kuala Lumpur yang semakin gelap.

Dalam genggamanku, surat datuk terasa semakin berat, sementara kunci kecil itu terasa sejuk mencengkam. Di kejauhan, petir mula memanah awan hitam, mengingatkanku pada kata-kata datuk dalam mimpi semalam:

"Ada yang lebih dalam dari lautan, Irfan. Ada yang lebih gelap dari dasar laut..."
Dalam diam, aku mula tertanya-tanya:

Apakah rahsia yang tersembunyi di sebalik pintu bangsal itu?

Dan mengapa hanya waktu malam yang dibenarkan untuk membukanya?

~ bersambung ke episod 2  ~


Raja Bersiong
Aku, Dia, Vespa dan Pantai

untuk meneruskan bacaan sila daftar PERCUMA di sini 
https://www.digyprime.com/reff/299274