Bab 5: Tukar Bidang, Tukar Supervisor. Perjalanan Bermula Semula

Lesson 6/14 | Study Time: 30 Min
Bab 5: Tukar Bidang, Tukar Supervisor.  Perjalanan Bermula Semula

Ketika
aku memutuskan untuk menukar bidang dari pengurusan ke sains, aku sebenarnya
tidak tahu apa yang menanti. Kali terakhir aku belajar kimia adalah ketika umur
19 tahun, Ketika di Politeknik. Dan kini, pada usia lebih 40 tahun, aku terjun
ke dalam dunia penyelidikan sains yang penuh dengan terminologi teknikal,
eksperimen makmal, dan teori yang sudah aku lupa sejak berdekad lalu.

Disebabkan
aku baru bermula maka aku terpaksa  menangguhkan Defend Proposal (DP) ke
tahun kedua. Saat itu, rasa malu, kecewa, dan tekanan bercampur-baur. Di tahun
kedua, aku lebih bersedia (apa yang aku rasa ja.). Tajuk kajian aku sudah
kukuh, dan kaedah yang aku gunakan lebih jelas. Tapi malangnya, aku  gagal.
DP aku
failed.


Aku
tidak melihat kegagalan itu sebagai pengakhiran, aku melihatnya sebagai
pelajaran. Aku belajar memahami apa yang kurang dalam pembentangan pertama. Aku
belajar cara menyusun hujah dengan lebih teratur. Aku belajar bagaimana
menyampaikan idea dengan lebih meyakinkan. Dan yang paling penting, aku belajar
bahawa perjalanan ini bukan tentang sempurna, tetapi tentang bertahan dan belajar
dari setiap kegagalan.


Supervisor
baruku, seorang saintis yang aktif dengan banyak geran penyelidikan, tidak
pernah berputus asa denganku. Dia tahu aku menghadapi cabaran besar, tetapi dia
tetap memberikan semangat dan dorongan untuk aku teruskan. Dengan adanya geran
yang beliau perolehi, aku juga mendapat sokongan kewangan. Hikmah yang tidak
aku jangka, aku tidak lagi perlu risau tentang biaya pengajian dan boleh
memberi tumpuan sepenuhnya kepada kajian.


Tetapi
sokongan kewangan sahaja tidak cukup. Aku tahu aku perlu menggandakan usaha,
lebih-lebih lagi kerana aku berada dalam bidang baru yang aku tidak mahir. Aku
mula belajar sendiri, video tutorial You Tube  banyak menolong aku sebagai rujukan untuk
cara menjalankan ujikaji, dan menganalisis Aku tidak malu untuk bertanya,
walaupun kepada pelajar yang jauh lebih muda. Ada yang sebaya dengan anakku,
tetapi aku tetap tanya tanpa rasa segan.


Aku
juga mula membina rangkaian dengan pelajar PhD lain. Kami bertukar idea,
berkongsi tips, dan saling menyokong. Dari situ aku sedar, PhD bukanlah perjalanan yang sunyi.
Ia adalah tentang bekerjasama, mencari rakan seperjuangan, dan saling membantu
di sepanjang jalan.


Aku
mula menikmati perjalanan ini. Setiap cabaran, daripada belajar teori kimia
hingga melakukan eksperimen di makmal, aku hadapi dengan minda terbuka. Ada
hari yang sukar, tentu saja. Tapi aku belajar untuk melihat setiap detik
sebagai pengalaman yang mendewasakan.


Satu
perkara yang aku pelajari adalah bahawa PhD
bukan sekadar tentang mendapatkan sijil.
Ia adalah tentang
perjalanan. Tentang bagaimana kita belajar untuk bertahan, bagaimana kita
mengatasi ketakutan dan kelemahan, dan bagaimana kita menjadi individu yang
lebih baik di akhir perjalanan.


















Buat
pembaca yang sedang membaca kisah ini, jika anda berada dalam perjalanan PhD
anda sendiri, ingatlah bahawa perjalanan itulah yang akan memberi anda kekuatan
dan kebijaksanaan yang tidak ternilai. Nikmatilah setiap detik, termasuk
cabaran yang ada, kerana di situlah pelajaran terbesar tersembunyi.