Bab 8: Sistem Sokongan: Anugerah dan Janji Allah

Lesson 9/14 | Study Time: 30 Min

PhD
sering digambarkan sebagai perjalanan individu, tetapi hakikatnya ia bukan
tentang aku seorang. Ia adalah cerita tentang sistem sokongan yang menjadi
tulang belakang aku—keluarga, sahabat, dan, yang paling utama, Allah. Tanpa
mereka, perjalanan ini tidak mungkin dapat aku lalui.


Keluarga Besar: Tiang Sokongan dari Jauh

Aku
berasal dari keluarga besar. Adik-beradik aku, ibu aku, dan ibu mertua aku
adalah sebahagian daripada sistem sokongan yang luar biasa. Walaupun aku berada
di Selatan, jauh dari mereka, kasih sayang dan doa mereka sentiasa mengiringi
aku.

Ada
satu ketika, anak aku terlibat dalam kemalangan. Hati seorang ibu mana yang
tidak hancur? Aku jauh, hanya mampu menangis dan berdoa dari kejauhan. Syukur,
adik-beradik aku dan keluarga suami berganding bahu menjaga anak-anak aku.
Mereka memastikan segalanya berjalan lancar sehingga aku boleh fokus pada
pengajian tanpa risaukan keadaan di rumah.

Saat
itu, aku benar-benar sedar bahawa aku tidak pernah bersendirian. Walaupun jauh,
keluarga aku adalah penguat semangat aku. Allah tidak pernah membebankan aku
dengan ujian yang tidak mampu aku tanggung. Setiap kali aku rasa tidak mampu,
Dia hantarkan pertolongan melalui keluarga dan sahabat-sahabat aku.


Sahabat-Sahabat yang Sentiasa Ada

Dalam
perjalanan PhD, aku bertemu dengan rakan-rakan yang menjadi seperti keluarga
kedua. Ada yang lebih muda, ada yang sebaya, dan ada juga yang sudah menjadi
ibu seperti aku. Mereka bukan hanya membantu dalam penyelidikan, tetapi juga
menjadi tempat aku meluahkan rasa ketika tekanan melanda.

Aku
masih ingat saat aku tersekat dalam kajian selama tiga bulan. Aku hilang arah,
buntu, dan terasa seperti segala usaha aku tidak membawa apa-apa hasil. Ketika
itulah seorang rakan aku berkata, "Ambil
masa, rehat sekejap, dan teruskan sujud. Allah akan tunjukkan jalan pada
masanya."


Janji Allah: Tatkala Sujud Menjadi Saksi

PhD
bukan hanya perjalanan intelektual, tetapi juga perjalanan spiritual. Aku
belajar untuk lebih dekat dengan Allah. Setiap kali aku hilang punca, aku
kembali pada-Nya. Tikar sejadah menjadi tempat aku bersujud, dengan deraian air
mata, merayu agar Allah membantu aku yang lemah dan serba kekurangan ini.

Allah
benar-benar Maha Mendengar. Bila Covid-19 melanda, aku terkandas di Kedah. Satu
eksperimen aku terhenti selama lapan bulan kerana tidak dapat ke makmal. Aku
risaukan sampel aku—adakah ia masih boleh digunakan? Adakah kajian aku akan
terbengkalai?

Tetapi
Allah aturkan semuanya dengan begitu indah. Sampel aku kekal baik walaupun lama
tidak disentuh, dan lebih daripada itu, keputusan yang aku dapat adalah seperti
yang aku perlukan. Saat itu, aku tersedar satu perkara besar: Allah adalah seperti apa yang kita
fikirkan tentang-Nya.
Jika kita yakin Dia akan membantu, Dia
pasti akan membantu.


Sistem Sokongan Utama: Allah

Di
sebalik segala cabaran, aku sentiasa ingat bahawa sistem sokongan yang paling
utama adalah Allah. Setiap langkah yang aku ambil, setiap ujian yang aku
hadapi, Dia sentiasa ada. Janji-Nya jelas: "Berdoalah
kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu."

PhD
bukan sekadar tentang penyelidikan atau sijil. Ia adalah tentang bagaimana aku
belajar untuk berserah, untuk bertawakkal, dan untuk percaya bahawa setiap
ujian itu mempunyai hikmahnya.


Dalam bab terakhir nanti, aku akan kongsikan bagaimana
perjalanan ini berakhir, dan refleksi tentang apa yang aku pelajari sepanjang
enam tahun ini.